LATAR BELAKANG KOLEJ KOMUNITI SARIKEI

 

Kolej Komuniti mula ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2000 dan dilaksanakan di setiap kawasan parlimen. Kolej Komuniti juga merupakan salah satu institusi pendidikan awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Konsep penubuhannya adalah bagi menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat umur dan juga memberi peluang pendidikan kepada lepasan sekolah menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

 

Penubuhan kolej komuniti di Sarikei adalah satu daripada rancangan dalam Program Tinjauan Mesra (workabout) YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Mohd. Yassin di Negeri Sarawak bagi tahun 2013.

 

Di awal penubuhannya, Kolej Komuniti Sarikei beroperasi sementara di Kolej Komuniti Kuching sebelum memulakan pengoperasian dan pembukaan pejabat di bandar Sarikei. Pada 1 Oktober 2013, Kolej Komuniti Sarikei mula diwujudkan dan secara rasminya beroperasi secara tetap di Blok 249 Lot 36, Jalan Sentral, Sarikei. Justeru itu, Kolej komuniti Sarikei adalah kolej komuniti ke-6 yang ditubuhkan di Negeri Sarawak.

 

Kolej komuniti Sarikei menawarkan kursus sepenuh masa di peringkat sijil seperti Sijil Kulinari (16 bulan) dan Sijil Sistem Komputer dan Sokongan (16 bulan). Selain itu, kursus pembelajaran sepanjang hayat ataupun kursus kemahiran jangka pendek kepada komuniti setempat juga ditawarkan.

 

Kolej Komuniti Sarikei mula menerima kemasukan pelajar seramai 31 orang pada November 2014 dalam pengajian Sijil Kulinari.